Friday, February 1, 2013

HARGA BUKU TEKS

HARGA BUKU TEKS

Salah satu fungsi Bahagian Buku Teks adalah mengawal harga buku teks yang diterbitkan untuk kegunaan murid di sekolah. Bagi melaksana tujuan tersebut, terdapat satu unit khas yang fungsi utamanya menguruskan hal berkaitan harga buku teks. Kawalan harga buku teks dibuat dengan mengambil kira tahap kemampuan ibu bapa murid serta peruntukan kewangan kerajaan. 

Kos terlibat dalam Harga Buku Teks

Secara umumnya harga sesebuah buku teks merangkumi tiga kategori kos iaitu:


  1. Kos permulaan
    Kos penyediaan di peringkat awal penerbitan seperti bayaran fotostat, bayaran terjemahan, bengkel.
  2. Kos pracetak
    Kos pembinaan manuskrip hingga ke peringkat filem.
  3. Kos percetakan
    Kos mencetak buku, termasuk kos penjilidan dan kemasan kulit.


Prinsip Penetapan Harga Buku Teks

Prinsip yang digunakan dalam penetapan harga buku teks adalah seperti yang berikut:


  1. Melibatkan semua kos yang terlibat dalam penerbitan buku.
  2. Menggunakan kadar kos komponen dalam penerbitan dan percetakan yang telah dipersetujui oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
  3. Menggunakan formula penetapan harga buku yang diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
  4. Menepati spesifikasi buku berkenaan.
  5. Mengambil kira konsep serta komponen pakej buku tersebut.
  6. Mengambil kira proses kerja yang terlibat dalam penerbitan buku.
  7. Mengambil kira bilangan naskhah buku yang akan dicetak.
  8. Melibatkan Nilai Faktor Tokokan yang ditetapkan, mengikut kaedah perolehan.
  9. Mengambil kira aspek pengurusan, hak cipta, pengedaran dan keuntungan.

Penetapan Harga Buku Teks

Pengiraan cadangan harga suatu judul buku teks hanya dapat dibuat setelah semua maklumat dan data berikut diperoleh:


  1. spesifikasi umum buku teks;
  2. anggaran bahan grafik;
  3. jumlah anggaran pesanan atau cetakan; dan
  4. kos-kos yang berkaitan dalam formula pengiraan harga buku teks, seperti harga kertas, harga dakwat, filem, dan kos cetak serta jilidan.

Cadangan harga buku teks dibentang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harga Buku Teks, Kementerian Pelajaran Malaysia. Jawatankuasa bermesyuarat untuk membuat pengesahan cadangan harga ini.

Pada masa yang sama, Penerbit yang terlibat mengira dan mencadangankan harga buku teks kepada Bahagian Buku Teks, berdasar kepada spesifikasi buku. Cadanga harga penerbit digunakan sebagai asas dalam mesyuarat runding harga diantara penerbit dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Satu harga yang sesuai dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak ditetapkan untuk dijadikan sebagai Harga Buku Teks sebenar, dan harga tersebut dicetak dikulit belakang semua buku teks terlibat.

No comments:

Post a Comment