Friday, February 1, 2013

REKA BENTUK BUKU TEKS

Reka Bentuk

Reka bentuk adalah pelan tersusun yang merangkumi konsep rekaan sesebuah buku. Reka bentuk merupakan rekaan yang memaparkan teks atau bahan grafik atau bahan lain pada halaman buku. Format persembahan pada keseluruhan buku hendaklah terancang, berfungsi, jelas, ramah pengguna serta mudah. Setiap ruang mestilah digunakan secara optimum, di samping mengambil kira ruang membolehkan pembaca merehatkan mata (eye rest). Reka bentuk yang baik dapat memandu mata pembaca, membaca mengikut urutan dalam sesuatu terbitan dan membezakan bahan-bahan utama dan bahan-bahan sekunder.

Reka bentuk merupakan faktor penting yang dapat membezakan sesuatu terbitan dengan terbitan lain. Reka bentuk juga boleh menjadi identiti sesebuah penerbit (house style). 


Aspek Penting Dalam Reka Bentuk Buku Teks

Reka bentuk buku teks mengambil kira prinsip asas rekaan atau seni reka dalam reka bentuk yang lazim iaitu perseimbangan, perkadaran, turutan, kesatuan, mudah dan kontra. Walau bagaimanapun dalam mereka bentuk buku teks, aspek keperluan pedagogi mata pelajaran dan kesesuaian dengan kumpulan sasar buku berkenaan perlu diberi perhatian agar reka bentuk yang dipilih bersesuaian. Di samping itu reka bentuk buku perlulah tekal pada keseluruhan buku agar dapat membantu pemahaman pengguna terhadap isi kandungan buku berkenaan.

Reka bentuk pakej buku teks sekolah rendah perlu mengambil kira jenis buku dan tahap umur murid. Lazimnya reka bentuk buku teks sekolah rendah lebih mudah dan tidak terlalu padat dengan teks. Manakala reka bentuk pakej buku teks sekolah menengah lebih kompleks dengan memuatkan lebih banyak teks dan maklumat tambahan.

No comments:

Post a Comment